Sejarah P. L. Travers

Helen Lyndon Goff lahir di pekan Maryborough, Queensland, Australia, sebagai anak kepada Travers Robert Goff, seorang pengurus bank yang tidak berjaya sehingga diturun pangkat menjadi kerani bank.[1] Ekoran kematian ayahnya, Helen Goff, ibu dan adik-beradiknya berpindah ke Bowral, New South Wales pada tahun 1907, dan menetap di situ sehingga tahun 1917.[2] Dipercayai bahawa beliau mula-mula membayangkan watak yang menjadi Mary Poppins sewaktu tinggal di Bowral.[3] Helen Goff mulai menerbitkan puisi-puisinya sewaktu masih remaja, serta menulis rencana untuk majalah The Bulletin dan Triad sambil mencatat nama sebagai pelakon. Lama-kelamaan, beliau memakai nama glamor "Pamela Lyndon Travers". Beliau menjelajahi Australia dan New Zealand bersama sebuah syarikat jelajah Shakespeare sebelum berpindah ke England pada tahun 1924. Di England, beliau mengabdikan diri kepada mengarang sastera di bawah nama pena P. L. Travers.[4] Travers turut menyanjung tinggi dan mencontohi J. M. Barrie, iaitu pengarang novel Peter Pan, yang banyak persamaannya dengan siri Mary Poppins yang ternama. (Sesungguhnya, penerbit pertama Travers ialah Peter Llewelyn Davies, anak angkat Barrie yang dianggap sebagai model untuk Peter Pan.)[1]

Sewaktu di Ireland pada tahun 1925, Travers bertemu dengan pemuisi George William Russell (AE), juga penyunting akhbarThe Irish Statesman, yang menerima beberapa rangkap puisinya untuk disiarkan. Menerusi Russell, Travers bertemu dengan W. B. Yeats dan ramai lagi pemuisi Ireland yang memupuk minat dan pengetahuannya dalam mitos sedunia. Beliau mengkaji Sistem Gurdjieff di bawah Jane Heap, kemudian pada Mac 1936, dengan pertolongan Jessie Orage, beliau bertemu dengan George Gurdjieff yang meninggalkan kesan besar padanya di samping beberapa tokoh sastera yang lain.[5]

Penerbitan Mary Poppins pada tahun 1934 merupakan kejayaan pertama buat kerjaya sastera Travers. Ia disusuli oleh tujuh lagi susulan (yang terakhir pada 1988), di samping juga sehimpunan novel lain, puisi dan bukan cereka.

Walaupun tak pernah berkahwin, namun pada usir 40 tahun, Travers menerima seorang bayi lelaki dari Ireland yang bernama Camillus sebagai anak angkat, sekaligus memisahkannya daripada adik kembarnya. (Beliau enggan mengangkat kedua-dua mereka sekali; kembar itu bersatu semula bertahun-tahun kemudian.)

Travers dilantik sebagai Pegawai Darjah Kebesaran Empayar British pada tahun 1977. Beliau meninggal dunia di London pada tahun 1996.